loading...

[Video] Kini Najib 'Dedah' 2 individu Yang Mengancam Perpaduan Negara

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengaitkan dua individu, yang pertama ialah 'ketua pembangkang' dan seorang lagi 'pemimpin lama' sebagai bertanggungjawab dalam mengancam dan menggugat perpaduan negara.

Melalui mesej radio terbaharu yang disiarkan di Galeri Audio Astro Awani, Najib turut menyimpulkan usaha menggugat keharmonian kaum ini berlaku dalam dua fasa dan yakin fasa ketiga dirancang pihak-pihak berkenaan.



"Kerajaan Malaysia bertekad untuk meneruskan agenda 1Malaysia bagi mengukuhkan keharmonian antara kaum di negara ini.

"Sejak akhir akhir ini, perpaduan negara sering diacam oleh dua individu," katanya.
Fasa pertama pada 2008, jelasnya, ialah ketika ketua pembangkang mula memainkan isu perkauman dan mula mencabar perlembagaan mengenai kepentingan semua kaum di Malaysia ini dengan menggunakan ia sebagai isu politik untuk meraih undi.

"Sebelum ini tidak ada pun pertikaian pada Perlembagaan dan semua lapisan masyarakat hidup dengan harmoni. Kesannya, selepas pilihan raya umum ke-12, politik negara mula ditentukan oleh faktor kaum," katanya.

Menurut Najib lagi, fasa kedua pula bermula pada tahun 2016 apabila "seorang pemimpin lama mula memecahkan kaum Melayu dengan membentuk satu lagi parti politik Melayu mengakibatkan kuasa politik kaum Melayu berpecah kepada lima".

Katanya, perpaduan bangsa yang longgar ditambah dengan desakan melalui perhimpunan yang berselindung di sebalik imej bipartisan dan multiracial memberi hentaman demi hentaman kepada parti pemerintah.

"Parti yang mentadbir Pulau Pinang, yang sudah didakwa mengamalkan rasuah, tidak diendahkannya.
"Lebih menyedihkan lagi, pemimpin lama itu sanggup dipergunakan oleh perhimpunan memecah belahkan rakyat ini, menuduh kerajaan perkara yang sama beliau dituduh dahulu," katanya.
Najib yang juga pengerusi BN berkata, ancaman fasa ketiga dijangka berlaku kerana kedua-dua individu itu kini dilihat berbaik-baik.

"Kedua-dua pemimpin perpecahan fasa satu dan dua kini dilihat sudah bersalaman. Kita sudah boleh anggap apa yang mereka akan lakukan kepada negara seterusnya pada fasa ketiga.
"Kerana itulah, agenda 1Malaysia wajib diteruskan." katanya.

Walaupun tidak menyatakan secara langsung dua nama yang dimaksudkan itu, namun agak jelas ianya merujuk kepada dua tokoh yang bermusuhan selama 18 tahun dan kemudiannya bersalaman semula iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada awal bulan September yang lalu, Mahathir muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Bekas perdana menteri pernah memecat Anwar pada 1998, ketika itu timbalannya, diiringi oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Kedua-dua mereka bertegur sapa dan bersalaman dalam mahkamah ketika tiada sidang sambil diperhatikan oleh anggota polis dan hadirin yang hadir.

Tangan kiri Anwar juga kelihatan menggenggam tangan kiri Mahathir. Sementara Mahathir pula kelihatan menepuk bahu Anwar.
Share on Google Plus

About Unknown

0 comments:

Post a Comment